Pentaksiran Sekolah (PS)
PS dirancang, dibina,
ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru. Guru menjalankan pentaksiran
secara berterusan
semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
PS dilaksanakan dalam bentuk pentaksiran formatif dan pentaksiran
sumatif. Pentaksiran formatif yang dijalankan seiring dengan
proses PdP. Manakala pentaksiran sumatif yang dijalankan pada akhir unit
pembelajaran, penggal, bulan atau tahun.
PS berfungsi sebagai
pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang
pembelajaran (assessment of learning).
Pentaksiran Rujukan Standard
Pentaksiran Rujukan Standard melaporkan prestasi atau tahap
penguasaan murid dalam pembelajaran dengan merujuk kepada pernyataan standard
bagi setiap mata pelajaran. Pernyataan standard ini ditetapkan mengikut
tahap-tahap penguasaan seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.
Dalam pentaksiran ini, standard
prestasi digunakan untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth)
pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid.
Kelebihan
Pentaksiran Rujukan Standard
Pentaksiran Rujukan Standard melaporkan prestasi atau tahap
penguasaan murid dalam pembelajaran. Murid dinilai secara adil dan saksama
sebagai individu berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi
diri tanpa dibandingkan dengan orang lain.
Dokumen Standard Prestasi (DSP)
Dokumen Standard Prestasi (DSP) mengandungi panduan untuk
mentaksir dan melapor penguasaan murid mengikut tahap-tahap pencapaian seperti
yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum. Dokumen ini merangkumi band, pernyataan
standard, deskriptor dan evidens
Apakah
yang dimaksudkan dengan band, pernyataan standard, dan
deskriptor?
Band adalah tahap penguasaan murid.
Band 6 adalah band tertinggi manakala Band 1 adalah band terendah.
Pernyataan Standard adalah
prestasi atau tahap penguasaan murid secara umum dalam pembelajaran.
Deskriptor
adalah pernyataan tentang tingkah laku terperinci yang boleh diperhati dan
diukur dalam menentukan prestasi atau tahap penguasaan murid dalam
pembelajaran.
Bilakah
DSP digunakan?
DSP digunakan untuk mentaksir murid
semasa proses P&P. Dokumen Kurikulum digunakan oleh guru untuk mengajar.
Fungsi DSP
DSP dibina sebagai panduan untuk guru menambahbaik
Pentaksiran Sekolah sejajar dengan pelaksanaan Pentaksiran Rujukan Standard.
Adakah
instrumen PS perlu diselaraskan antara murid, kelas dan sekolah?
Instrumen PS tidak perlu diselaraskan kerana guru perlu mempelbagaikan
instrumen mengikut kesesuaian murid.
Standard Prestasi
Standard prestasi merupakan satu pernyataan yang menerangkan
tentang tahap-tahap penguasaan seseorang murid dalam sesuatu bidang atau mata
pelajaran yang dipelajari. Dalam satu tempoh pembelajaran, murid ditaksir
berdasarkan penanda aras (benchmark)
yang terdapat dalam standard prestasi. Guru menggunakan standard prestasi
sebagai rujukan untuk menentukan aktiviti pentaksiran dilaksanakan secara adil
dan berfokus.
Adakah seseorang
murid itu mesti menguasai setiap deskriptor untuk menentukan band yang
dicapainya?
Ya, murid mesti menguasai setiap deskriptor untuk
menentukan band yang dicapainya. Penguasaan setiap deskriptor membuktikan murid
telah menguasai semua standard kandungan/hasil pembelajaran bagi band
berkenaan.
Adakah murid boleh
ditaksir pada band yang lebih tinggi walaupun dia belum menguasai setiap
deskriptor dalam band terdahulu?
Boleh, murid boleh ditaksir pada band yang lebih tinggi walaupun dia
belum menguasai setiap deskriptor dalam band terdahulu kerana guru mengajar
berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum (DSK)/Sukatan Pelajaran.
Walau bagaimanapun, murid perlu menunjukkan evidens
lisan atau bertulis atau bahan yang membuktikan bahawa murid telah menguasai deskriptor dalam band
yang terdahulu. Evidens boleh dikemukakan dalam bentuk bahan atau murid itu
sendiri.
Adakah
sekolah perlu melaksanakan PEKA, PLBS/ULBS dan kerja kursus Kemahiran Hidup
Bersepadu (KHB) Tingkatan 1?
PEKA dan PLBS/ULBS perlu dilaksanakan sebagai sebahagian
daripada PS.
Kerja kursus bagi KHB tidak perlu
dilaksanakan
di Tingkatan 1 mulai tahun 2012.
Adakah LINUS boleh digunakan dalam
Pentaksiran Berasaskan Sekolah?
Tidak
boleh kerana LINUS merupakan satu program untuk mengenal pasti murid yang tidak
menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
PBS pula ialah satu sistem dan dalam PS
murid ditaksir berdasarkan kehendak standard pembelajaran yang terdapat dalam
mata pelajaran berkenaan.
Perlukah Ujian Bulanan dan Peperiksaan
Akhir Tahun diadakan?
Bergantung
kepada keperluan / objektif / tujuan ujian tersebut diadakan.
Sekiranya
bertujuan mendapatkan kedudukan murid, skop ujian boleh merentasi semua konteks
dan konstruk (pengetahuan dan kemahiran yang diukur) dalam mata pelajaran
tersebut.
Sekiranya JK PBS sekolah memutuskan
untuk mendapatkan kedudukan bagi murid-murid dalam band-band tertentu, soalan
atau tugasan ujian tersebut hendaklah berdasarkan evidens dalam dokumen
standard prestasi.
Adakah murid yang belum
menguasai kemahiran/pengetahuan dalam PS perlu
ditaksir semula?
Murid perlu ditaksir semula sehingga murid menguasai
pengetahuan/kemahiran dalam PS.
Bolehkah Guru Sandaran Tidak Terlatih
(GSTT) menjadi pentaksir?
Boleh, kerana GSTT telah dilantik untuk
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Pentaksiran hendaklah
dijalankan oleh guru yang mengajar.