Selasa, 27 November 2012

PENGURUSAN EVIDENS MURID


Apakah evidens?
Evidens terbahagi kepada dua iaitu evidens murid dan evidens bahan.
Evidens murid merujuk kepada keupayaan sebenar murid tentang apa yang dia tahu dan boleh buat secara lisan atau perlakuan.
Evidens bahan merujuk kepada apa-apa bukti produk atau proses seperti foto, grafik, artifak, laporan dan lain-lain yang dihasilkan oleh murid dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

Di manakah evidens disimpan?
Evidens bahan hendaklah disimpan dalam Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Fail Showcase (FS).

Apakah Fail Perkembangan Murid?
Fail Perkembangan Murid (FPM) ialah fail yang menyimpan evidens perkembangan pembelajaran murid.
Seorang murid mempunyai satu FPM yang mengandungi evidens semua mata pelajaran.
Setiap evidens hendaklah direkodkan dalam Borang Rekod Perkembangan Murid.
FPM menyimpan evidens terkini bagi setiap deskriptor. Evidens terdahulu dikembalikan kepada murid.


Perlukah soalan dari buku teks dan buku aktiviti dibuat salinan dan dimasukkan ke dalam FPM?
Tidak perlu, memadai dengan guru merekodkan penguasaan murid dalam Borang Rekod Perkembangan Murid dan SPPBS.


Siapakah yang bertanggungjawab mengemaskini FPM?
Guru mata pelajaran bertanggungjawab mengemaskini evidens PS.
Guru tingkatan bertanggungjawab mengemaskini evidens PAJSK.


Adakah FPM SULIT?
FPM tidak sulit kerana ia boleh diakses oleh pihak yang berkepentingan bagi melihat penguasaan murid dalam pengetahuan/kemahiran.


Apakah evidens bagi kemahiran Mendengar dan Bertutur?
Murid itu sendiri adalah evidens bagi kemahiran mendengar dan bertutur. Murid boleh berinteraksi dan bertindak balas dengan betul dalam situasi yang berbeza.


Apakah Fail Showcase (FS)
Fail Showcase (FS) ialah fail yang menyimpan setiap evidens terbaik bagi semua deskriptor untuk semua mata pelajaran.FS hendaklah dijadikan rujukan piawaian evidens.
FS hendaklah disediakan mengikut tahun/tingkatan atau kelas.

Bolehkah FS disediakan di hujung tahun?
Tidak boleh, FS perlu disediakan bermula dari awal tahun kerana pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran berjalan secara berterusan. FS perlu dikemaskini sepanjang tahun.

Bilakah evidens Pentaksiran Sekolah murid boleh dilupuskan?
Evidens hendaklah diserah semula kepada murid setelah direkod dalam aplikasi Sistem Pengurusan Pentaksiran Beasaskan Sekolah (SPPBS).
Evidens yang tidak dituntut oleh murid  boleh dilupuskan selepas dua minggu daripada tempoh direkod dalam aplikasi SPPBS.

PENGOPERASIAN PBS


Bagaimanakah pengoperasian PBS dilaksanakan di sekolah?
Pengoperasian PBS hendaklah dilaksanakan berdasarkan dokumen Panduan Pengurusan PBS, surat pekeliling dan surat siaran PBS yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan.

Bagaimanakah keahlian JK PBS Sekolah di Sekolah Kurang Murid?
Seorang guru perlu memegang lebih daripada satu portfolio dalam JK PBS Sekolah.

Perlukah murid yang baru pulang dari bermastautin di luar negara/tidak hadir ke sekolah  melaksanakan PS yang terdahulu?
Tidak perlu kerana PS dilaksanakan semasa pengajaran dan pembelajaran.

Perlukah murid yang baru pulang dari bermastautin di luar negara/tidak hadir ke sekolah melaksanakan PP yang lepas?
PP dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan oleh LP. PP tidak boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh yang dijadualkan.

Adakah murid dibenarkan memohon pengecualian dari melaksanakan PBS?
Tidak timbul isu pengecualian kerana pentaksiran dijalankan mengikut tahap pencapaian murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

Bagaimanakah pelaksanaan PBS bagi murid dari golongan OKU?
Murid akan ditaksir dan dinilai menggunakan standard prestasi khas dan mekanisme yang sesuai. Pentadbir sekolah hendaklah menyediakan segala keperluan khas murid berkenaan seperti  perkhidmatan, peralatan atau perisian khas dalam pentaksiran PBS.

Bolehkah pentaksiran yang dibuat oleh guru dipercayai?
Boleh kerana guru merupakan orang yang paling layak untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka:
·     merupakan pakar mata pelajaran (subject matter expert)
·     telah menerima latihan dalam pentaksiran
·     boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
·     boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid
·     lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid 
·     mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi

Integriti guru dikawal melalui proses penjaminan kualiti yang merangkumi pementoran, penyelarasan, pemantauan dan pengesanan.

PENTAKSIRAN PSIKOMETRIK (PPSI)


Pentaksiran Psikometrik (PPsi)
PPsi dilaksanakan di sekolah untuk mengukur kebolehan semula jadi dan kebolehan yang diperoleh, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat kerjaya, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum dan proses pengajaran dan pembelajaran.

Bilakah PPsi dilaksanakan dalam PBS?
PPsi bagi sekolah rendah dilaksanakan pada Tahun 4 mulai 2014 dan Tahun 6 mulai 2016.
PPsi bagi sekolah menengah dilaksanakan pada Tingkatan 1 mulai 2012, Tingkatan 3 mulai 2014, Tingkatan 4 mulai 2015 dan Tingkatan 5 mulai 2016.

Apakah  kaitan antara Pentaksiran  Psikometrik  dengan  Pentaksiran Sekolah?

Maklumat yang diperoleh daripada Pentaksiran Psikometrik boleh digunakan oleh guru untuk menyesuai dan mempelbagaikan kaedah pengajaran, pembelajaran serta  pembinaan instrumen PS.

Jumaat, 23 November 2012

PENTAKSIRAN AKTIVITI JASMANI, SUKAN DAN KOKURIKULUM (PAJSK)


Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK)
PAJSK adalah pentaksiran yang ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti sukan, kokurikulum dan  ekstra kurikulum. Manakala Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) dan Body Mass Index (BMI) dilaksanakan untuk menilai dan melaporkan aktiviti fizikal murid.

Bilakah PAJSK dilaksanakan dalam PBS?
PAJSK bagi sekolah rendah dilaksanakan pada Tahun 4 mulai 2014, Tahun 5 mulai 2015 dan Tahun 6 mulai 2016.
 
PAJSK bagi sekolah menengah dilaksanakan pada  Tingkatan 1 mulai 2012, Tingkatan 2 mulai 2013, Tingkatan 3 mulai 2014, Tingkatan 4 mulai 2015 dan Tingkatan 5 mulai 2016.

PENTAKSIRAN PUSAT (PP)


Pentaksiran Pusat (PP)
PP adalah pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah dengan peraturan pentaksiran, instrumen pentaksiran, tugasan, garis panduan, peraturan penskoran, penggredan dan pelaporan dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).

Tugasan PP
Terdapat dua jenis tugasan PP iaitu tugasan jangka panjang dan tugasan jangka pendek. Tugasan jangka panjang dilaksanakan dalam tempoh 3 hingga 4 minggu dan tugasan jangka pendek dilaksanakan dalam tempoh 2 minggu.

Bilakah PP dilaksanakan dalam PBS
PP bagi sekolah rendah dilaksanakan pada Tahap 2. PP bagi sekolah menengah dilaksanakan pada Tingkatan 2 dan Tingkatan 3.

Bolehkah PP dilaksanakan secara berkumpulan?
Tugasan boleh dilaksanakan secara berkumpulan tetapi penskoran diberikan secara individu.

PENTAKSIRAN SEKOLAH (PS)


Pentaksiran Sekolah (PS)
PS dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru. Guru menjalankan pentaksiran secara berterusan semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
PS dilaksanakan dalam bentuk pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif. Pentaksiran formatif yang dijalankan seiring dengan proses PdP. Manakala pentaksiran sumatif yang dijalankan pada akhir unit pembelajaran, penggal, bulan atau tahun.
PS berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning).

Pentaksiran Rujukan Standard
Pentaksiran Rujukan Standard melaporkan prestasi atau tahap penguasaan murid dalam pembelajaran dengan merujuk kepada pernyataan standard bagi setiap mata pelajaran. Pernyataan standard ini ditetapkan mengikut tahap-tahap penguasaan seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum. 
Dalam pentaksiran ini, standard prestasi digunakan untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid.

Kelebihan Pentaksiran Rujukan Standard
Pentaksiran Rujukan Standard melaporkan prestasi atau tahap penguasaan murid dalam pembelajaran. Murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain.

Dokumen Standard Prestasi (DSP)
Dokumen Standard Prestasi (DSP) mengandungi  panduan untuk mentaksir dan melapor penguasaan murid mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum. Dokumen ini merangkumi band, pernyataan standard, deskriptor dan evidens

Apakah yang dimaksudkan dengan band, pernyataan standard, dan deskriptor?
Band adalah tahap penguasaan murid. Band 6 adalah band tertinggi manakala Band 1 adalah band terendah.
Pernyataan Standard adalah prestasi atau tahap penguasaan murid secara umum dalam pembelajaran.
Deskriptor adalah pernyataan tentang tingkah laku terperinci yang boleh diperhati dan diukur dalam menentukan prestasi atau tahap penguasaan murid dalam pembelajaran.

Bilakah DSP digunakan?
DSP digunakan untuk mentaksir murid semasa proses P&P. Dokumen Kurikulum digunakan oleh guru untuk mengajar.

Fungsi DSP
DSP dibina sebagai panduan untuk guru menambahbaik Pentaksiran Sekolah sejajar dengan pelaksanaan Pentaksiran Rujukan Standard.

Adakah instrumen PS perlu diselaraskan antara murid, kelas dan sekolah?
Instrumen PS tidak perlu diselaraskan kerana guru perlu mempelbagaikan instrumen mengikut kesesuaian murid.

Standard Prestasi
Standard prestasi merupakan satu pernyataan yang menerangkan tentang tahap-tahap penguasaan seseorang murid dalam sesuatu bidang atau mata pelajaran yang dipelajari. Dalam satu tempoh pembelajaran, murid ditaksir berdasarkan penanda aras (benchmark) yang terdapat dalam standard prestasi. Guru menggunakan standard prestasi sebagai rujukan untuk menentukan aktiviti pentaksiran dilaksanakan secara adil dan berfokus.

Adakah seseorang murid itu mesti menguasai setiap deskriptor untuk menentukan band yang dicapainya?
Ya, murid mesti menguasai setiap deskriptor untuk menentukan band yang dicapainya. Penguasaan setiap deskriptor membuktikan murid telah menguasai semua standard kandungan/hasil pembelajaran bagi band berkenaan.

Adakah murid boleh ditaksir pada band yang lebih tinggi walaupun dia belum menguasai setiap deskriptor dalam band terdahulu?
Boleh, murid boleh ditaksir pada band yang lebih tinggi walaupun dia belum menguasai setiap deskriptor dalam band terdahulu kerana guru mengajar berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum (DSK)/Sukatan Pelajaran.
Walau bagaimanapun, murid perlu menunjukkan evidens lisan atau bertulis atau bahan yang membuktikan bahawa murid telah menguasai deskriptor dalam band yang terdahulu. Evidens boleh dikemukakan dalam bentuk bahan atau murid itu sendiri.

Adakah sekolah perlu melaksanakan PEKA, PLBS/ULBS dan kerja kursus Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) Tingkatan 1?
PEKA dan PLBS/ULBS perlu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada PS. 
Kerja kursus bagi KHB tidak perlu dilaksanakan
di Tingkatan 1 mulai tahun 2012.

Adakah LINUS boleh digunakan dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah?
Tidak boleh kerana LINUS merupakan satu program untuk mengenal pasti murid yang tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
PBS pula ialah satu sistem dan dalam PS murid ditaksir berdasarkan kehendak standard pembelajaran yang terdapat dalam mata pelajaran berkenaan.

Perlukah Ujian Bulanan dan Peperiksaan Akhir Tahun diadakan?
Bergantung kepada keperluan / objektif / tujuan ujian tersebut diadakan.
Sekiranya bertujuan mendapatkan kedudukan murid, skop ujian boleh merentasi semua konteks dan konstruk (pengetahuan dan kemahiran yang diukur) dalam mata pelajaran tersebut.
Sekiranya JK PBS sekolah memutuskan untuk mendapatkan kedudukan bagi murid-murid dalam band-band tertentu, soalan atau tugasan ujian tersebut hendaklah berdasarkan evidens dalam dokumen standard prestasi.

Adakah murid yang belum menguasai kemahiran/pengetahuan dalam PS perlu ditaksir semula?
Murid perlu ditaksir semula sehingga murid menguasai pengetahuan/kemahiran dalam PS.

Bolehkah Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) menjadi pentaksir?
Boleh, kerana GSTT telah dilantik untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Pentaksiran hendaklah dijalankan oleh guru yang mengajar.

Rabu, 21 November 2012

KONSEP PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)


Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), psikomotor (jasmani) dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. PBS ini mentaksir proses dan produk secara formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep assessment for learning dan assessment of learning.

PBS mentaksir bidang akademik dan bidang bukan akademik. PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan oleh pihak sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

Komponen PBS terdiri daripada dua kategori iaitu akademik dan bukan akademik. Kategori akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala kategori bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Adakah PBS sesuatu yang baharu?
Tidak, PBS telah dilaksanakan oleh guru di sekolah seperti Penilaian Kerja Amali (PEKA), Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS), Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS), Perkara Asas Fardu Ain (PAFA), projek, kuiz, soal-jawab, persembahan dan lain-lain.

Bilakah penambahbaikan PBS mula dilaksanakan?
Penambaikan PBS dilaksanakan mulai Tahun 1 pada tahun 2011 dan Tingkatan 1 pada tahun 2012. 

Komponen PBS
Komponen PBS terdiri daripada dua kategori iaitu akademik dan bukan akademik. Kategori akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala kategori bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Apakah penambahbaikan dalam PBS?
KPM telah membuat beberapa penambahbaikan antaranya melaksanakan Pentaksiran Rujukan Standard, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan perekodan penguasaan murid dalam aplikasi Sistem Pengurusan PBS (SPPBS). 

PBS bertujuan untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid.